Senin, 29 Juni 2009

Bercerita Tentang Bahagia

Bercerita Tentang Bahagia

Bila berkata tentang bahagia, sudah pasti setiap insan menyukai dan mengimpikannya. Kebahagiaan adalah merupakan sebuah perasaan yang sangat sukar diungkapkan. Dan ia bersifat sangat subjektif.

Berdasarkan definisi di dalam Kamus Dewan, edisi ketiga, bahagia membawa maksud: “suasana senang dan aman, aman damai, serta gembira”.

Bahagia sebenarnya lebih bersifat subjektif, sebuah perasaan yang lahir dari dalam lubuk hati, membawa sebuah pengertian yang sangat bermakna. Bahagia dicapai apabila seseorang itu merasa sebuah kepuasan, gembira, kecukupan, serta penuh kesyukuran dan keredhaan.

Kebahagian adalah milik semua. Bahagia tidak hanya dimiliki oleh mereka yang kaya raya dan berharta. Kerana boleh sahaja, orang yang kaya raya tidak bahagia kerana runsing dengan keselamatan hartanya yang bertimbun.

Tidak kurang juga dengan keadaan manusia yang sehari-harinya penuh dengan keletihan disebabkan sibuk mengejar harta dan kerjaya. Tiada lagi masa untuk duduk bersama keluarga, isteri mahu pun suami. Sehinggakan hubungan cinta menjadi hambar.

Bahagia juga belum tentu dapat dicapai dengan memiliki sebuah kediaman yang mewah dan indah. Kerana boleh sahaja, rumah besar itu hanya mejadi penjara baginya yang penuh dengan kesunyian tanpa hiburan. Ibarat seekor burung yang terkurung di dalam sangkar emas.

Bahagia juga belum tentu dimiliki dengan memiliki pasangan (suami/isteri) yang tampan atau cantik rupawan. Kerana ketampanan dan kecantikan itu akan menghilang ditelan waktu.

Di antara faktor-faktor lain yang mungkin menyumbang kepada kenikmatan hidup sekaligus faktor menuju bahagia adalah faktor kesihatan, kecukupan makanan, kasih sayang, serta suasana persekitaran. Namun, cukupkah hanya dengan ini sahaja?

Maka dengan itu, sebuah kebahagian belum tentu dapat dicapai hanya dengan beberbekalkan harta yang melimpah ruah, kerja yang lumayan hasilnya, kediaman yang mewah, serta rupa fizikal yang menawan semata-mata. Jadi, bagaimanakah hakikat bahagia yang menjadi idaman dan kejaran seluruh manusia yang hidup itu?

Jika kita kembali kepada agama, sebenarnya kebahagiaan itu hanya dapat diraih dan dinikmati oleh mereka yang sentiasa berpegang teguh dengan prinsip-prinsip agama bagi setiap urusan yang mereka lakukan untuk perjalanan hidup mereka. Apabila mereka meletakkan prinsip-prinsip agama sebagai keutamaan, di sini mereka telah meletakkan Allah Subhanahu wa Ta’ala sebagai keutamaan mereka. Mereka sentiasa bersyukur dengan nikmat-nikmat yang Allah berikan kepada mereka dan dengannya mereka bersikap qana’ah atau sentiasa merasa cukup serta berpuas hati (redha).

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya):

“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram.” (Surah ar-Ra’d, 13: 28)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda (maksudnya):

“Sesiapa di antara kamu yang merasa aman dirinya, sihat tubuhnya dan cukup persediaan makanan rutinnya pada hari tersebut, seakan-akan dia telah diberi semua kenikmatan dunia.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi. Hadis ini hasan menurut penilaian al-Albani di dalam Silsilah Hadis ash-Shahihah)

Rasulullah juga turut menjelaskan bahawa kekayaan itu bukanlah dicapai dengan banyaknya harta yang menimbun, tetapi ia dicapai dengan kayanya hati.

“Kaya itu bukanlah diukur dengan banyaknya harta benda, akan tetapi kaya yang sebenarnya adalah kaya hati.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Orang yang kaya hatinya, dia sentiasa memiliki sifat qana’ah dengan menerima apa yang Allah berikan. Dia sentiasa redha dan merasa puas di atas usahanya. Tidak memiliki rasa tamak untuk mengejar sesuatu dengan berlebih-lebihan tanpa keperluan. Dan dia juga tidak rakus mengejar dunia serta tidak pula meminta-minta. Seolah-olah dia sentiasa memiliki kecukupan.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda (maksudnya):

“Benar-benar beruntung orang yang telah memeluk Islam, mereka diberi kecukupan rezeki dan qana’ah di dalam menerima apa jua pemberian Allah terhadapnya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berpesan kepada kita supaya sentiasa melihat siapa yang berada di bawah kita dan dari mereka yang kurang bernasib baik berbanding apa yang telah kita miliki. Dan bukannya dengan melihat kekayaan yang dimiliki oleh orang yang mewah berbanding diri kita.

“Lihatlah orang yang berada di bawahmu, dan jangan melihat kekayaan orang yang di atasmu, perkara itu lebih baik sehingga engkau tidak meremehkan nikmat Allah.” (Hadis Riwayat Muslim)

Pesanan Rasulullah ini sebenarnya bertujuan mengajak kita untuk sentiasa merasa bersyukur dengan segala kemampuan dan hasil yang kita usahakan serta perolehi. Sekaligus menjauhkan kita dari merasa kurang bernasib baik dan bersikap tamak.

Selain itu, tidak dapat dinafikan bahawa kehidupan yang baik adalah sangat merujuk kepada kehidupan berkeluarga iaitu dengan memiliki isteri yang baik, anak-anak dan keperluan berkaitan dengannya.

Kerana Allah subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya):

“Dijadikan indah pada (pandangan) manusia itu kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu: wanita-wanita (isteri), anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (syurga).” (Surah Ali Imran, 3: 14)

Dengan itu, bagi sesebuah keluarga, suami dan isteri hendaklah sentiasa berkasih sayang, tolong-menolong dan saling memahami di dalam setiap hal-ehwal urusan kehidupan mereka. Mereka saling mengerti tugas dan hak masing-masing berdasarkan apa yang telah digaris-pandukan oleh agama. Setiap pihak sentiasa berusaha memberikan kebahagiaan, keceriaan, ketenteraman, dan kehangatan cinta sesama mereka.

Rumahtangga yang bahagia yang dibina di atas landasan agama ia akan membawa pasangan suami isteri tersebut kebahagiaan yang berkekalan sehingga ke syurga yang penuh kenikmatan. Ini dapat diraih apabila mereka menjadikan rumah tangga mereka sebagai medan meraih keredhaan dan mengejar cinta Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Dalam persoalan ini, si suami selaku ketua keluarga bertangungjawab mengemudi keluarga yang dibinanya bagi tujuan menuju kebahagiaan tersebut. Ini dapat dicapai apabila suami sentiasa bergaul, tahu mengambil hati, melahirkan rasa kemesraan, memupuk rasa mencintai dan memenuhi keperluan mereka dengan baik, dan dia sentiasa berusaha memibimbing isteri-isteri dan anak-anaknya kepada perkara yang dicintai oleh Allah.

Dengan kefahaman agama yang teguh dan satu di antara ahli keluarga, kebahagian akan dapat diraih dengan baik disebabkan mereka memiliki satu kefahaman yang teguh secara bersama. Mereka menuju fokus yang satu, iaitu keredhaan Allah semata. Sekaligus, ia bakal melahirkan generasi yang cemerlang di atas ketaatan kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala yang jauh dari perasaan dengki, hasad, tamak, dan benci. Sebaliknya, hidup mereka dipenuhi dengan tauhid, kasih sayang, saling mencintai, kesyukuran dan kemesraan yang berpanjangan.

Di antara faktor-faktor lain yang mendorong kebahagiaan bagi sesebuah kehidupan adalah sebagaimana yang digambarkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melalui hadisnya:

“Empat (4) perkara yang mendatangkan kebahagiaan adalah, 1 – Isteri yang solehah, 2 – Rumah yang luas, 3 – Jiran tetangga yang soleh (baik), dan 4 – Kenderaan yang selesa.

Dan empat (4) perkara yang mendatangkan kesengsaraan adalah:

1 - Isteri yang buruk akhlaknya, 2 – Jiran tetangga yang jahat, 3 - Kenderaan yang buruk, dan 4 – rumah yang sempit (tidak selesa).” (Hadis Riwayat Ibnu Hibban. Hadis daripada Sa‘ad bin Abi Waqas radiyallahu ‘anhu, dinilai sahih oleh Syu‘aib al-Arna’uth di dalam Sahih Ibn Hibban. Juga dinilai sahih oleh al-Albani di dalam Silsilah Hadits ash-Shahihah)

Dari hadis ini, yang dimaksudkan dengan isteri yang solehah, sudah tentu isteri yang memahami persoalan agama dengan baik, mengamalkan ilmunya (taat) dan sangat komited dengan kedudukannya sebagai seorang isteri.

Rumah yang luas adalah rumah yang sentiasa terisi dengan sifat qana’ah, terisi dengan aktiviti yang dicintai Allah, suasana yang tenteram dan ceria, dan kemudahan yang baik.

Kenderaan yang selesa adalah sebuah sarana yang sangat penting bagi tujuan kelancaran pengangkutan dan hal-ehwal urusan serta tugas seharian.

Jiran tetangga yang baik adalah merujuk kepada soal pergaulan yang baik dan kehidupan bermasyarakat di atas etika syari’at yang betul.

Dengan itu, apa yang sebaliknya adalah merujuk kepada unsur-unsur yang mampu mendatangkan keburukkan sekaligus jauh dari nilai-nilai sebuah kebahagiaan.

Dan sebagai mengakhiri tulisan ini, penulis meletakkan fokus bahawa sebenar-benar kebahagiaan itu adalah kebahagiaan yang dibina di atas keredhaan Allah Subhanahu wa Ta’ala, sekaligus menjamin kehidupan bahagia yang berkekalan sehingga ke akhirat.

Kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya):

“Orang-orang yang beriman dan beramal soleh, bagi mereka kebahagiaan dan tempat kembali yang baik.” (Surah ar-Ra’d, 13: 29)

Minggu, 28 Juni 2009

Seladang dibaham Sang Kijang

Oleh KHAIRI MOHAMAD
mohdkhairi.mohamad@kosmo.com.my

HATRIK daripada penyerang sensasi Kelantan, Indra Putra Mahyuddin memusnahkan impian Perak untuk meraih kemenangan ketiga berturut-turut dalam saingan Liga Super.
Turun dengan reputasi membenam Negeri Sembilan di laman sendiri Selasa lalu, Perak begitu bersemangat untuk memburu gol awal melalui penyerang berbisa mereka, Razali Umar Kandasamy.
Namun, anak-anak buah Peter James Butler menyedari bahawa mereka bukanlah lawan sebenar kepada Kelantan apabila tewas besar 0-4.
Sebaik wisel permulaan dibunyikan, Kelantan melalui trio penggempur mereka, Khalid Jamlus, Norfarhan Mohamad dan Indra Putra terus melakukan asakan ke kubu Perak.
Bagaimanapun, barisan pertahanan Perak yang diterajui ketua pasukan, Chun Keng Hung begitu kental bertahan.
Kelantan hampir berada di depan pada minit ke-25 apabila ketua pasukan, Badri Radzi melakukan aksi 'Maradona' apabila menggelecek lima pemain Perak daripada garisan tengah padang, namun penyudahnya berjaya diselamatkan penjaga gol lawan, Kamarul Effendy.
Selang tujuh minit kemudian, Perak juga mendapat peluang keemasan apabila bola tampanan Ahmad Azlan Zainal melantun di hadapan Razali, namun sepakan lemahnya berjaya dibaca Shahrizan Ismail
Usaha Kelantan akhirnya berjaya menerusi Indra apabila sepakan percumanya dari jarak 30 meter terus ke sasaran.
Tujuh minit selepas wisel separuh masa kedua dibunyikan, Stadium Sultan Muhammed IV terus bergema.
Norfarhan yang menerima hantaran Badri, bijak melakukan lorongan kepada Indra yang menolak mudah bola ke gawang Perak untuk gol kedua peribadinya.
Pemain Perak seperti tenggelam punca apabila mereka terus hanyut dengan sorakan hampir 22,000 'tentera-tentera merah' yang memenuhi stadium.
Barisan pertahanan yang diterajui oleh Ahmad Azlan dan Farisham Ismail terlalu kebal untuk ditembusi oleh jentera serangan Perak sehingga menyaksikan Shahrizan tidak perlu bekerja keras menjaga gawangnya.
Mengambil kesempatan daripada kelemahan Perak, Kelantan terus menggandakan asakan dan pada minit ke-68 Norfarhan turut mencatat namanya selaku penja- ring gol.
Dia yang menerima hanta- ran Badri bijak memperdayakan pertahanan Perak sebelum melepaskan rembatan kaki kiri yang gagal diselamatkan oleh Kamarul Effendy.
Indra yang berada pada prestasi sebenar, membuktikan dia adalah 'bintang' di hati peminat Kelantan apabila menyempurnakan hatrik pada minit ke-74 bagi meleng- kapkan kemenangan 4-0 yang penuh bergaya itu.

Mengenali Ciri-ciri ‘Ulama

Mengenali Ciri-ciri ‘Ulama



Pernah terjadi sebuah kisah di era para sahabat yang diredhai, di mana ‘Umar al-Khaththab radhiyallahu ‘anhu membawa (mengangkat) Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhu yang masih tersangat muda ke dalam sebuah majlis perbincangan di antara para sahabat yang lebih senior (utama) dari kalangan ahli Badar (peserta perang Badar). Ini dilakukan oleh ‘Umar adalah di antaranya berdasarkan kepada keilmuan Ibnu ‘Abbas yang tinggi dan matang. Ia berlaku tanpa mengira usia dan kedudukan. Apatah lagi apabila beliau (Ibnu ‘Abbas) telah didoakan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dengan doa, “Ya Allah faqihkanlah dia di dalam urusan agama, dan ajarkanlah padanya ilmu ta’wil (ilmu tafsir).”

Begitu juga dengan halnya Usamah bin Zaid radhiyallahu ‘anhu yang diangkat oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sebagai seorang panglima Perang sejak usianya semuda 17 tahun lagi. Dan beliau juga terus diberikan tanggungjawab tersebut di era Abu Bakar radhiyallahu ‘anhu.

Setelah itu, kita juga pasti pernah mendengar tentang imam asy-Syafi’i rahimahullah yang dibenarkan memberi fatwa (mengeluarkan pendapat) kepada masyarakat seawal usia belasan tahun oleh gurunya.

Dari beberapa situasai yang disebutkan ini, jelas bahawa umur bukanlah ukuran yang muktamad untuk menentukan keilmuan seseorang.

Pernahkah kita membaca atau mendengar bagaimana imam Malik bin Anas, imam Ahmad bin Hanbal, Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah, dan beberapa ulama lainnya yang berfatwa dari dalam penjara? Jika kita perhatikan dari kisah ini, bukankah ia juga dapat menterjemahkan kepada kita bahawa kriteria seseorang ulama itu bukanlah semestinya mereka berada di dalam barisan Majlis Fatwa Negara, Dewan Ulama, atau pun yang menyandang jawatan-jawatan khas hal ehwal agama tertentu di dalam Negaranya. Bahkan pernah terjadi di zaman mereka ini orang-orang yang menyandang jawatan keagamaan adalah dari kalangan Jahmiyah dan Muktazilah yang menyelewengkan begitu banyak perkara-perkara agama.

Di dalam beberapa kisah yang lain pula, pernah berlaku di mana 'Ali Radhiyallahu ‘anhu mengerahkan tentera memerangi sekumpulan manusia yang tekun beribadah seperti rajin solat malam, selalu berpuasa, dan membaca al-Qur’an, yang mana akhirnya kumpulan manusia tersebut habis ditewaskan. Ini berlaku adalah kerana mereka menyelisihi manhaj para sahabat dalam memahami agama dan berpisah dari ketaatan terhadap pemerintah (menjadi pemberontak).

Ini adalah sebagaimana yang dijelaskan melalui hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dari Abu Sa’id al-Khudri radhiyallahu ‘anhu yang menjelaskan bahawa tekun beribadah semata-mata bukanlah sebuah jaminan bahawa seseorang itu berada di atas landasan yang benar, apatah lagi untuk meletakkan mereka di dalam barisan alim ulama.

“Akan datang kepada kalian suatu kaum yang kalian akan merasa rendah apabila solat kalian dibandingkan dengan solat mereka, puasa kalian dibandingkan dengan puasa mereka, amal-amal kalian dibandingkan dengan amal-amal mereka. Mereka membaca al-Qur’an (tetapi) tidak melewati kerongkongan mereka. Mereka meleset (keluar) dari (batas-batas) agama seperti terlepasnya anak panah dari (sasaran) buruannya.” (Muttafaqun ‘alaihi, dari Abu Sa’id al-Khudri)

Maka, dari itu apakah kriteria-kriteria yang tepat untuk meletakkan seseorang itu sebagai manusia yang layak dipanggil atau digelar sebagai ulama? Sekaligus tidaklah setiap orang itu bermudah-mudah dalam mengkategorikan sesiapa sahaja sebagai ulama yang wajar dijadikan sebagai contoh atau ikutan (diambil pendapatnya) dan berhak mengeluarkan fatwa (menyelesaikan masalah masyarakat dan umat Islam).

Seorang tabi’in besar, Muhammad bin Sirin rahimahullah berkata:

“Sesungguhnya ilmu ini adalah dien (petunjuk yang memangkin kehidupan), oleh itu telitilah dengan baik dari siapa kamu mengambil ilmu agama.” (Diriwayatkan oleh Muslim sebagaimana di dalam Muqaddimah kitab Shahihnya)

Berikut kita perhatikan satu persatu beberapa kriteria utama yang wajar ada kepada para alim atau ulama. Seterusnya, kita dapat menjadikan mereka sebagai manusia rujukan yang boleh kita ambil pendapat-pendapatnya di dalam pelbagai persoalan agama dan permasalahan-permasalahan yang mendatang.

1 – Mereka adalah orang yang paling takut dan paling taat kepada Allah, disebabkan mereka sangat mengenali Allah Subhanahu wa Ta’ala berdasarkan ilmu yang benar.

“Sesungguhnya dari kalangan hamba Allah yang paling takut (tunduk) kepada-Nya adalah para ulama (orang yang berilmu).” (Surah Fathir, 35: 28)

“Katakanlah: “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?”.” (Surah az-Zumar, 39: 9)

2 – Mewarisi dan menyampaikan apa yang disampaikan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berupa al-Qur’an, hadis-hadis dan sunnahnya bersertakan kefahaman yang benar (faqih).

Daripada Abu Darda’, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Sesungguhnya para ulama itu adalah pewaris para Nabi. Dan para Nabi itu tidaklah mewariskan dinar mahu pun dirham. Namun, mereka mewariskan ilmu. Maka, sesiapa yang mengambil ilmu tersebut, sungguh dia telah mendapat bahagian yang sangat besar.” (Hadis Riwayat Abu Daud. Sahih Menurut penilaian al-Albani di dalam Shahih Sunan Abi Daud)

Berkata Ibnu Hibban rahimahullah: "Di dalam hadis ini terdapat penjelasan yang sangat jelas bahawa ulama yang memiliki keutamaan yang kami singgung adalah mereka yang mengajarkan ilmu Nabi shallallahu 'alaihi wa Sallam saja, bukan yang mengajarkan ilmu-ilmu lain. Bukankah Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam bersabda: "Ulama adalah pewaris para nabi," dan para nabi tidak mewariskan apa pun selain ilmu dan ilmu Nabi kita Shallallahu 'alaihi wa Sallam adalah sunnahnya. Siapa pun yang tidak mengetahui sunnah bukanlah pewaris para nabi." (Lihat: Sahih Ibnu Hibban hadis no.88, tahqiq Syaikh Syua'ib al-Arna'uth)

Ilmu di sini adalah meliputi sehingga kepada seluruh cabang-cabang ilmu dalam agama, sama ada aqidah, hadis, tafsir, fiqh, atsar para sahabat dan termasuklah penguasaan bahasa/lughah (bahasa arab). (Rujuk perkataan imam al-Ashbahani rahimahullah di point no. 4)

Juga sabdanya:

“Ilmu agama ini akan terus dibawa oleh orang-orang yang adil (terpercaya dan bukan fasiq) dari generasi ke generasi, yang selalu berjuang membersihkan agama...” (Shahih menurut penilaian al-Albani di dalam Misykah al-Mashabih)

3 – Memiliki sifat tsiqah (dipercayai/adil) bagi tujuan membawa dan menjaga agama dari sebarang bentuk penyelewengan serta perubahan terhadapnya.

“Ilmu agama ini akan terus dibawa oleh orang-orang yang adil (terpercaya dan bukan fasiq) dari generasi ke generasi, yang selalu berjuang membersihkan agama ini dari:

1 - Tahriful Ghalin (Penyelewengan maksud-maksud agama)
2 – Intihalul Mubthilin (Pendustaan orang-orang sesat yang mempergunakan nama agama)
3 – Ta’wilul Jahilin (Penta’wilan agama yang salah yang dilakukan oleh orang-orang yang jahil.”

(Shahih menurut penilaian al-Albani di dalam Misykah al-Mashabih)

4 – Memiliki ilmu yang mendalam terhadap agama dan mampu menganalisa serta merungkaikan kepelbagaian persoalan.

“Maka keluarlah Qarun kepada kaumnya di atas kemegahannya. Berkatalah orang-orang yang sangat ingin kepada kehidupan dunia: “Moga-moga kiranya kita mempunyai seperti apa yang telah diberikan kepada Qarun, sesungguhnya dia benar-benar memiliki keuntungan yang besar”. Berkatalah orang-orang yang dikurniakan dengan ilmu: “Kecelakaan besarlah bagimu, pahala Allah adalah lebih baik bagi orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan tidak diperolehi pahala itu, melainkan oleh orang-orang yang sabar”.” (Surah al-Qasas, 28: 79-80)

“Dan itulah contoh-contoh yang kami buat untuk manusia, dan tiada yang memahaminya melainkan orang-orang yang berilmu.” (Surah al-Ankabut, 29: 43)

“Dan apabila datang kepada mereka suatu berita tentang keamanan atau pun ketakutan, mereka lalu menyiarkannya. Dan sekiranya mereka menyerahkannya kepada Rasul dan Ulil Amri (para ulama) di antara mereka, tentulah orang-orang yang ingin mengetahui kebenarannya (akan dapat) mengetahuinya dari mereka (Rasul dan Ulil Amri). Jika tidak disebabkan kurnia dan rahmat Allah kepada kamu, tentulah kamu mengikuti syaitan, kecuali sebahagian kecil saja (di antaramu).” (Surah an-Nisaa’, 4: 83)

Abu Qasim al-Ashbahani (rahimahullah) memberitahu kepada kita, dia berkata:

“...seseorang dapat menjadi pemimpin di dalam agama (menjadi ulama), dan ahlul kalam (para pemikir atau ahli falsafah) tidaklah termasuk ulama.

Para ulama Salaf berkata, “Seseorang tidak boleh menjadi imam di dalam agama sehingga dia memiliki kriteria berikut: 1 - Memahami bahasa arab berserta pelbagai perkara yang berhubung dengannya, menguasai makna-makna syair arab, 2 - memahami perbezaan pendapat di antara para ulama atau ahli fiqh, 3 - seorang yang berilmu, 4 - mengerti tentang i’rab (tatabahasa arab dari kata per kata), 5 - memahami al-Qur’an berserta bacaan-bacaannya, perbezaan di antara para qurra’ (para periwayat bacaan al-Qur’an), 6 - menguasai tafsir sama ada berkaitan ayat-ayat muhkam (yang jelas) atau pun mutasyabihat (yang samar-samar), yang nasikh (yang memansuhkan) mahu pun yang mansukh (yang dimansuhkan) serta pelbagai kisah di dalamnya, 7 - memahami hadis-hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, dapat membezakan di antara yang sahih dan sebaliknya, yang bersambung atau pun terputus, hadis-hadis mursal dan sanad-sanadnya, yang masyhur, yang gharib, 8 - serta mengetahui perkataan-perkataan (atsar) para Sahabat radhiyallahu ‘anhum, 9 – kemudian dia harus wara’, menjaga diri, jujur, terpercaya, membina (mengeluarkan) pendapat dan agamanya berpandukan kitabullah dan sunnah Rasul-Nya”.” (Tsaqil Shalfiq al-Qasimi, Membantai Ahlul Ahwa dan Bid’ah, Pustaka as-Sunnah, m/s. 85-86)

5 – Menegakkan tauhid dan menegakkan keadilan. Tidak menyembunyikan ilmu serta sentiasa menyebarkan kebenaran dengan cara mengajarkan ilmu, menerapkan nilai-nilai agama, mengajak kepada kebaikan, dan melarang manusia dari segala bentuk kemungkaran.

“Allah menyatakan bahwasanya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Dia, Yang menegakkan keadilan. Para Malaikat dan orang-orang yang berilmu (juga menyatakan yang demikian itu).” (Surah Ali ‘Imran, 3: 18)

“Akan sentiasa ada segolongan dari umatku (dari kalangan orang yang berilmu) yang membela kebenaran. Tidak akan membahayakan mereka orang-orang yang menghina dan yang menyelisihi mereka, sehinggalah datang hari kiamat (ketetapan Allah)”.” (Hadis Riwayat Muslim)

6 – Menjadi tempat rujukan masyarakat sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah supaya sentiasa merujuk kepada orang yang mengetahui (berilmu).

“Dan apabila datang kepada mereka suatu berita tentang keamanan atau pun ketakutan, mereka lalu menyiarkannya. Dan sekiranya mereka menyerahkannya kepada Rasul dan Ulil Amri (para ulama) di antara mereka, tentulah orang-orang yang ingin mengetahui kebenarannya (akan dapat) mengetahuinya dari mereka (Rasul dan Ulil Amri). Jika tidak disebabkan kurnia dan rahmat Allah kepada kamu, tentulah kamu mengikuti syaitan, kecuali sebahagian kecil saja (di antaramu).” (Surah an-Nisaa’, 4: 83)

“Bertanyalah kamu kepada ahluz zikri (orang yang berilmu iaitu dari kalangan ulama) apabila kamu tidak mengetahui.” (Surah an-Nahl, 16: 43)

Ibnu Qutaibah rahimahullah berkata:

“Sekiranya masalah yang rumit di antara kedua perkara tersebut dikembalikan kepada orang yang berilmu yang memahami al-Qur’an dan as-Sunnah, maka jelaslah bagi mereka manhaj itu dan jalan keluarnya pun menjadi luas, tetapi ada sesuatu yang menghalanginya iaitu mencari kekuasaan, suka mengikut keyakinan dan perkataan-perkataan saudara-saudaranya.” (al-Ibanah, 1/188. Dinukil dari Tsaqil Shalfiq al-Qasimi, Membantai Ahlul Ahwa dan Bid’ah, Pustaka as-Sunnah, m/s. 83)

Demikianlah beberapa kriteria yang dapat disenaraikan dari beberapa sumber rujukan berkenaan ciri-ciri ulama. Dengan itu agar kita tidak bermudah-mudah mengangkat seseorang sebagai ulama atau sesebuah pendapat manusia tertentu untuk dijadikan sebagai fatwa sekaligus sebagai rujukan di dalam agama.

Malah imam Malik rahimahullah sendiri pernah berkata dengan tegas:

“Seseorang tidak layak memandang dirinya telah wajar untuk mengeluarkan pendapat (fatwa) sehingga dia bertanya (tentang dirinya) kepada orang yang lebih ahli (berilmu) daripada dirinya.” (Diriwayatkan oleh Abu Na’aim dan al-Baihaqi)

Sabtu, 27 Juni 2009

Hukum Berubat Dengan Memakan Sesuatu Yang Diharamkan

posted by : Putera_cherang




Di dalam keadaan darurat, jika seseorang terpaksa untuk memakan sesuatu yang diharamkan, maka baginya boleh memakan apa yang asalnya haram tersebut dengan ukuran sekadar dapat mengelakkan (menjaga dirinya) dari kematian.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya):

“Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan bagimu bangkai, darah, daging babi, dan binatang yang (ketika disembelih) disebut (nama) selain Allah. Tetapi barangsiapa dalam keadaan terpaksa (memakannya) sedang dia tidak menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas, maka tidak ada dosa baginya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah al-Baqarah, 2: 173)

Namun, perbuatan berubat adalah sebenarnya tidak semestinya termasuk ke dalam perkara yang menjurus kepada darurat. Kerana tidak semestinya semua penyakit itu menjurus kepada kematian.

Dan menurut pendapat ulama yang benar bahawa berubat itu bukanlah suatu kemestian atau kewajiban buat orang yang ditimpa penyakit. Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah menjelaskan:

“Aku sama sekali tidak mengetahui seorang pun dari kalangan Salaf yang mewajibkan berubat.” (Majmu’ al-Fatawa, 21/564)

Di antara dalil yang menyokong pendapat tersebut adalah hadis Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma berkenaan seorang wanita berkulit hitam yang datang kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Wanita itu berkata, “Aku ditimpa penyakit ayan (epilesi/sopak), doakanlah kesembuhan buatku.” Belia Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Jika engkau mahu bersabar, maka bagimu adalah Syurga, dan jika mahu, aku akan memohon kepada Allah agar menyembuhkanmu.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Sekiranya berubat itu merupakan suatu perkara yang diwajibkan, sudah tentu Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak akan memberikan pilihan.

Dari sini, boleh difahami bahawa berserah diri dengan tidak berubat merupakan satu langkah yang lebih utama jika disertai dengan kesabaran. Ada pun jika tidak disertai dengan kesabaran dan terasa berat (sangat terbeban) dengan kesakitan tersebut, maka pada masa itu, berubat adalah lebih diutamakan. Dari sini juga menunjukkan bahawa keutamaan untuk berserah diri (meninggalkan berubat) telah hilang dengan tidak adanya kesabaran.

Dari keadaan ini, maka dapat diambil kesimpulan bahawa berubat dengan sesuatu yang diharamkan itu adalah tidak dibolehkan apatah lagi menyatakan ia sebagai darurat.

Diriwayatkan dari Thariq bin Suwaid al-Ju’fi radhiyallahu ‘anhu bahawa dia bertanya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tentang khamar. Lalu beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallah melarang atau membenci membuatnya, kemudiannya dia bertanya lagi,

“Aku membuatnya hanya sebagai ubat.” Lalu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berkata:

“Sesungguhnya khamar bukanlah ubat, tetapi ia adalah penyakit.” (Hadis Riwayat Muslim)

Hadis ini juga merupakan dalil yang menunjukkan bahawa tidak bolehnya berubat dengan sesuatu yang diharamkan seperti khamar (arak) atau seumpamanya.

Juga diriwayatkan dari Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu, dia berkata bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melarang membuat ramuan ubat-ubatan yang buruk (dari sumber yang haram dan najis).” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Begitu juga dengan hadis berikutnya ini, di mana Rasulullah menjelaskan bahawa setiap penyakit ada ubatnya.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Sesungguhnya Allah menurunkan penyakit berserta ubatnya, dan menjadikan ubat bagi setiap penyakit, maka berubatah kamu dan jangan berubat dengan sesuatu yang haram.” (Hadis Riwayat Abu Daud dari Abu Darda’. Lihat ash-Shahihah no. 1633 (Hasan lighairihi))