Sabtu, 04 Juli 2009

ALLAH ITU BERSEMAYAM DI ATAS ‘ARSY (ISTAWA’ ‘ALAL ‘ARSY)

ALLAH ITU BERSEMAYAM DI ATAS ‘ARSY (ISTAWA’ ‘ALAL ‘ARSY)

Jika ditanya perihal di manakah Allah? Katakanlah: “Allah itu di langit.”

Ini adalah berdasarkan hadis sahih berikut...

Ketika Mu’awiyah Bin al-Hakam as-Sulamy ingin memerdekakan hambanya (Jariyyah/hamba wanita) , beliau membawanya kepada Rasulullah s.a.w.;

Rasulullah bertanya kepada hamba tersebut: “Di manakah Allah (aina Allah)?” Jawab hamba itu: “Allah di langit (fis samaa’).” Baginda Rasulullah bertanya lagi: “Siapakah aku?” Jawab hamba itu lagi: “Engkau adalah Rasulullah.” Dan kemudian baginda Rasulullah bersabda, “Merdekakanlah dia, kerana dia seorang mukminah (wanita yang beriman). (Hadis Diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam Kitab al-Janaiz wa Mawadhi’ as-Sholat, bab “Tahrimil Kalam fi Sholat wa Naskh Ma Kana Min Ibahah” (537) (33) dari Mu’awiyah bin al-Hakam as-Sulami. Juga diriwayatkan sekalian Jema’ah ahli Hadis, antaranya Imam Malik, Abu Daud, ad-Darimi, an-Nasai’e).

Sesungguhnya Allah s.w.t. itu bersemayam di atas ‘arsy-Nya yang mana selayak-Nya sebagaimana yang dia sendiri menetapkannya sesuai dengan Kemuliaan-Nya dan berdasarkan penerangan dalil-dalil Firman Allah s.w.t. sendiri:
إِنَّ رَبَّكُمُ اللَّهُ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضَ فِي سِتَّةِ أَيَّامٍ ثُمَّ اسْتَوَى عَلَى الْعَرْشِ
“Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah Yang menciptakan langit dan bumi Dalam enam masa lalu Dia bersemayam di atas Arasy;” (al-a’raaf: 54)
الرَّحْمَنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَى
“Iaitu (Allah) Ar-Rahman, Yang bersemayam di atas Arasy.” (Thohaa: 5)
إِنَّ رَبَّكُمُ اللَّهُ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضَ فِي سِتَّةِ أَيَّامٍ ثُمَّ اسْتَوَى عَلَى الْعَرْشِ يُدَبِّرُ الأمْرَ مَا مِنْ شَفِيعٍ إِلا مِنْ بَعْدِ إِذْنِهِ ذَلِكُمُ اللَّهُ رَبُّكُمْ فَاعْبُدُوهُ أَفَلا تَذَكَّرُونَ
Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah Yang menjadikan langit dan bumi Dalam enam masa kemudian ia bersemayam di atas Arasy mentadbirkan Segala urusan. (Yunus: 3)

الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضَ وَمَا بَيْنَهُمَا فِي سِتَّةِ أَيَّامٍ ثُمَّ اسْتَوَى عَلَى الْعَرْشِ الرَّحْمَنُ فَاسْأَلْ بِهِ خَبِيرً
Tuhan Yang menciptakan langit dan bumi serta Segala Yang ada di antara keduanya, Dalam enam masa, kemudian ia bersemayam di atas Arasy, ialah Ar-Rahman (Tuhan Yang Maha Pemurah); maka Bertanyalah akan hal itu (tentang Allah) kepada Yang mengetahuinya (Muhammad s.a.w.). (al-Furqaan: 59)

Dan begitu banyak dalil-dalil al-Qur’an yang lain yang mana begitu jelas yang menunjukkan bahawa Allah itu bersemayam di ‘arsy di langit. Tidak harus wujud penamaan sifat yang lain dengan nama yang lain bagi menggantikan kalimah istawa’ yang mana telah ditetapkan oleh Allah s.w.t. sendiri kepada dirinya. Siapa kita yang mahu menukarkan kalimah istawa’ (bersemayam) kepada istawla’ (tinggi, berkuasa, memiliki)? Adakah kita orang yang layak, sedangkan kita tidak langsung mengetahui. Adakah akal kita telah benar-benar bijak sehingga mampu menukar ketetapan yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t. sendiri ke atas diri-Nya?

Terdapat tujuh ayat, di mana Allah menyatakan dan menetapkan yang Dirinya itu bersemayam di ‘arsy dengan menggunakan kalimah istawa’ ‘alal ‘arsy (ثُمَّ اسْتَوَى عَلَى الْعَرْشِ). Dan andainya Allah mahu menamakannya dengan nisbahan yang lain, tentu Allah sudah menunjukkannya dengan jelas. Adalah kesilapan yang disengajakan yang paling besar andainya ada di antara mereka (manusia) menukar-nukar kalimah al-Qur’an yang telah sedia ditetapkan oleh Allah dengan kalimah-kalimah yang lain menurut akal, prasangka, dan hawa nafsu. Maha Suci Allah dari semua itu.
فَاطِرُ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ جَعَلَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا وَمِنَ الأنْعَامِ أَزْوَاجًا يَذْرَؤُكُمْ فِيهِ لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ وَهُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ
“Tiada sesuatupun yang sebanding dengan Dia dan Dia lah yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.” (as-Syuura: 11)
هَؤُلاءِ قَوْمُنَا اتَّخَذُوا مِنْ دُونِهِ آلِهَةً لَوْلا يَأْتُونَ عَلَيْهِمْ بِسُلْطَانٍ بَيِّنٍ فَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنِ افْتَرَى عَلَى اللَّهِ كَذِبًا
“maka tidak ada Yang lebih zalim dari orang-orang Yang berdusta terhadap Allah.” (al-Kahfi: 15)
وَلِلَّهِ الأسْمَاءُ الْحُسْنَى فَادْعُوهُ بِهَا وَذَرُوا الَّذِينَ يُلْحِدُونَ فِي أَسْمَائِهِ سَيُجْزَوْنَ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ
“Dan Allah mempunyai nama-nama Yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepadanya Dengan menyebut nama-nama itu, dan pulaukanlah orang-orang Yang berpaling dari kebenaran dalam menyebut nama-nama-Nya. mereka akan mendapat balasan mengenai apa Yang mereka telah kerjakan.” (al-A’raaf: 180)

Berkata Sheikh Soleh Abdullah Fauzan di dalam Kitab Tahid-nya (maksudnya) dalam menafsirkan ayat ini:

Bahawa wajib - Menetapkan nama-nama (asma’) untuk Allah s.w.t. seperti mana Allah menetapkannya, dan maka siapa yang menafikannya bererti ia telah menafikan apa yang telah ditetapkan Allah dan juga bererti dia telah menentang Allah s.w.t.

Bahawasanya Allah s.w.t. mengancam orang-orang yang ilhad (menyelewengkan) dalam asma’-Nya dan Dia akan membalas perbuatan mereka yang buruk itu.

Berkata Sheikh Soleh Abdullah Fauzan seterusnya; dalam tujuh ayat di dalam Qur’an ini (7:54, 12:3, 13:2, 20:5, 25:59, 32:4, 57:4) lafaz istawa’ datang dalam bentuk dan lafaz yang sama. Maka hal ini menyatakan bahawa yang dimaksudkan adalah maknanya yang hakiki yang tidak menerima ta’wil, iaitu ketinggian dan keluhuran-Nya di atas ‘arsy.

‘Arsy menurut bahasa Arab adalah singgahsana untuk raja. Sedangkan yang dimaksudkan dengan ‘Arsy di sini adalah singgahsana yang mempunyai beberapa kaki yang dipikul oleh malaikat, ia merupakan atap bagi semua makhluk (rujuk al-Mu’min ayat 7 dan al-Haqqah ayat 17). Sedangkan bersemayamnya Allah di atasnya (‘arsy) adalah yang sesuai dengan keagungan-Nya. Kita tidak mengetahui kaifiyah (cara-nya), sebagaimana kaifiyah sifat-sifat-Nya yang lain. Akan tetapi kita hanya menetapkannya sesuai dengan apa yang kita fahami dari maknanya dalam bahasa Arab, sebagaimana sifat-sifat lainnya, kerana memang al-Qur’an diturunkan dengan bahasa Arab.

Manakala yang berikut pula adalah dalil-dalil yang mengukuhkan lagi kenyataan yang Allah itu di langit.

Pusat Pemerintahan Allah juga di Langit (Mentadbir Dari Langit)
أَأَمِنْتُمْ مَنْ فِي السَّمَاءِ أَنْ يَخْسِفَ بِكُمُ الأرْضَ فَإِذَا هِيَ تَمُورُ
“Patutkah kamu merasa aman (tidak takut) kepada Tuhan yang pusat pemerintahan-Nya di langit itu: menunggang-balikkan bumi menimbus kamu, lalu bergegarlah bumi itu Dengan serta-merta (melenyapkan kamu di bawahnya)?” (al-Mulk: 16)
يُدَبِّرُ الأمْرَ مِنَ السَّمَاءِ إِلَى الأرْضِ ثُمَّ يَعْرُجُ إِلَيْهِ فِي يَوْمٍ كَانَ مِقْدَارُهُ أَلْفَ سَنَةٍ مِمَّا تَعُدُّونَ
“Allah mentadbirkan segala urusan dari langit ke bumi; Kemudian urusan itu naik kepada-Nya...” (as-Sajdah: 5)

Manakala berikut, menunjukkan naik-nya amalan

Amalan-amalan yang baik itu akan naik kepada Allah. Apabila istilah naik digunakan, bermakna kedudukannya mestilah menghala ke atas. Ke atas adalah dimaksudkan menuju ke tempat yang tinggi, iaitu langit.
مَنْ كَانَ يُرِيدُ الْعِزَّةَ فَلِلَّهِ الْعِزَّةُ جَمِيعًا إِلَيْهِ يَصْعَدُ الْكَلِمُ الطَّيِّبُ وَالْعَمَلُ الصَّالِحُ يَرْفَعُهُ وَالَّذِينَ يَمْكُرُونَ السَّيِّئَاتِ لَهُمْ عَذَابٌ شَدِيدٌ وَمَكْرُ أُولَئِكَ هُوَ يَبُورُ
“Kepada Allah-lah naiknya Segala perkataan Yang baik (yang menegaskan iman dan Tauhid, untuk dimasukkan ke Dalam kira-kira balasan), dan amal Yang soleh pula di angkatnya naik (sebagai amal Yang makbul - Yang memberi kemuliaan kepada Yang melakukannya).” (al-Fatheer: 10)

Manakala berikut, dalil menunjukkan bahawa Jibril itu naik menghadap Tuhanya-Nya
تَعْرُجُ الْمَلائِكَةُ وَالرُّوحُ إِلَيْهِ فِي يَوْمٍ كَانَ مِقْدَارُهُ خَمْسِينَ أَلْفَ سَنَةٍ
“Malaikat-malaikat dan Jibril naik (menghadap) kepada Rabb.” (al-Ma’arij: 4)

Begitu juga dalil yang berikut ini, iaitu di mana Fir’aun memperolok-olokkan kenyataan nabi Musa a.s.:
وَقَالَ فِرْعَوْنُ يَا هَامَانُ ابْنِ لِي صَرْحًا لَعَلِّي أَبْلُغُ الأسْبَابَ, أَسْبَابَ السَّمَاوَاتِ فَأَطَّلِعَ إِلَى إِلَهِ مُوسَى وَإِنِّي لأظُنُّهُ كَاذِبًا وَكَذَلِكَ زُيِّنَ لِفِرْعَوْنَ سُوءُ عَمَلِهِ وَصُدَّ عَنِ السَّبِيلِ وَمَا كَيْدُ فِرْعَوْنَ إِلا فِي تَبَابٍ
“Dan Firaun pula berkata: "Hai Haman! binalah untukku sebuah bangunan Yang tinggi, semoga Aku sampai ke jalan-jalan (yang Aku hendak menujunya) "(Iaitu) ke pintu-pintu langit, supaya Aku dapat melihat Tuhan Musa; dan Sesungguhnya Aku percaya Musa itu seorang pendusta!" Demikianlah diperhiaskan (oleh Syaitan) kepada Firaun akan perbuatannya Yang buruk itu untuk dipandang baik, serta ia dihalangi dari jalan Yang benar; dan tipu daya Firaun itu tidak membawanya melainkan ke Dalam kerugian dan kebinasaan. (al-Mu’min: 36-37)

Maka, barangsiapa mengatakan Allah itu tidak di langit atau memepermainkan (mendustakan) pernyataan yang menunjukkan Allah itu di langit, maka dia menyerupai Fir’aun yang mempermainkan kata-kata Musa a.s..

Allah Mengangkat (Menunjukkan Naik Ke Atas) Isa Ke Sisi-Nya
إِذْ قَالَ اللَّهُ يَا عِيسَى إِنِّي مُتَوَفِّيكَ وَرَافِعُكَ إِلَيَّ وَمُطَهِّرُكَ مِنَ الَّذِينَ كَفَرُوا وَجَاعِلُ الَّذِينَ اتَّبَعُوكَ فَوْقَ الَّذِينَ كَفَرُوا إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ ثُمَّ إِلَيَّ مَرْجِعُكُمْ فَأَحْكُمُ بَيْنَكُمْ فِيمَا كُنْتُمْ فِيهِ تَخْتَلِفُونَ
(ingatlah) ketika Allah berfirman: "Wahai Isa! Sesungguhnya Aku akan mengambilmu dengan sempurna, dan akan mengangkatmu ke sisiKu…” (Ali Imran: 55)
بَلْ رَفَعَهُ اللَّهُ إِلَيْهِ وَكَانَ اللَّهُ عَزِيزًا حَكِيمًا
“Bahkan Allah telah mengangkat Nabi Isa kepadanya; dan adalah Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (an-Nisa’: 158)

Kedudukan Allah Yang Di Atas

يَخَافُونَ رَبَّهُمْ مِنْ فَوْقِهِمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ
Mereka takut kepada Tuhan mereka yang di atas mereka dan melaksanakan apa yang diperintahkan (kepada mereka). (an-Nahl: 50)

Perihal Penurunan al-Qur’an (Dari Langit)
وَإِنَّهُ لَتَنْزِيلُ رَبِّ الْعَالَمِينَ (١٩٢)نَزَلَ بِهِ الرُّوحُ الأمِينُ (١٩٣)عَلَى قَلْبِكَ لِتَكُونَ مِنَ الْمُنْذِرِينَ (١٩٤)بِلِسَانٍ عَرَبِيٍّ مُبِينٍ)
“Dan Sesungguhnya Al-Quran (yang di antara isinya kisah-kisah Yang tersebut) adalah diturunkan oleh Allah Tuhan sekalian alam. ia dibawa turun oleh malaikat Jibril Yang amanah. ke Dalam hatimu, supaya Engkau (Wahai Muhammad) menjadi seorang dari pemberi-pemberi ajaran dan amaran (kepada umat manusia). (ia diturunkan) Dengan bahasa Arab Yang fasih serta terang nyata. (as-Syu’ara: 192-195)
تَنْزِيلُ الْكِتَابِ مِنَ اللَّهِ الْعَزِيزِ الْحَكِيمِ
“Turunnya Kitab Al-Quran ini dari Allah, Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (az-Zumar: 1)

Berita-Berita Langit
وَأَنَّا لَمَسْنَا السَّمَاءَ فَوَجَدْنَاهَا مُلِئَتْ حَرَسًا شَدِيدًا وَشُهُبًا (٨)وَأَنَّا كُنَّا نَقْعُدُ مِنْهَا مَقَاعِدَ لِلسَّمْعِ فَمَنْ يَسْتَمِعِ الآنَ يَجِدْ لَهُ شِهَابًا رَصَدًا
“Dan Bahawa Sesungguhnya Kami telah berusaha mencari berita langit, lalu Kami dapati langit itu penuh Dengan pengawal-pengawal Yang sangat kuat kawalannya, dan (dengan rejaman-rejaman) api Yang menyala. Padahal Sesungguhnya Kami dahulu biasa menduduki tempat-tempat (perhentian) di langit untuk mendengar (percakapan penduduknya – para malaikat); maka sekarang sesiapa Yang cuba Mendengar, akan mendapati api Yang menyala Yang menunggu merejamnya.” (al-Jin: 8-9)
Dan sekian banyak lagi dalil-dalil al-Qur’an yang jelas menunjukkan Allah itu di langit di ‘arsy-Nya. Begitu juga dengan perihal kisah nabi isra’ dan mikraj, di mana nabi menuju ke langit.

Dalil daripada atsar (sahabat Rasulullah s.a.w.)

Umar al-Khathab menyatakan bahawa:

“Bahawasanya segala urusan itu (datang) dari sana (sambil mengisyarat-kan tangannya ke langit).” (al-Imam az-Zhahabi di dalam kitab-nya menyatakan bahawa riwayat ini sahih)

Riwayat daripada Ibnu abbas pula (maksudnya);

“Daripada Ibnu Abbas (ia berkata) bahawa Rasulullah s.a.w. berkhutbah kepada manusia pada hari Nahr (tanggal 10 Zulhijjah) kemudian Ibnu abbas menyebutkan khutbah Nabi s.a.w. kemudian beliau mengangkat (mendongakkan) kepalanya ke arah langit sambil mengucapkan: “Ya Allah bukankah aku telah menyampaikan! Ya Allah bukankah aku telah menyampaikan!” (Riwayat Imam Bukhari, juz.2 halaman 191)

Hujah Para imam Ahlus Sunnah wa-al-Jama’ah (dan para Tabi’ Tabi’ien):

Telah berkata Imam abu Hanifah:

“Barangsiapa yang mengingkari sesungguhnya Allah berada di atas langit, maka sesungguhnya dia telah kafir.”

Telah berkata Imam Malik Bin Annas:

“Allah berada di langit sedangkan ilmu-Nya di tiap-tiap tempat dan tidak tersembunyi sesuatupun dari-Nya.”

Telah berkata imam as-syafi’e:

“Dan Allah di atas ‘arsy-Nya di atas langit-Nya.”

Telah berkata Imam Ahmad:

“Benar! Allah di atas ‘arsy-Nya dan tidak sesuatupun yang tersembunyi dari pengetahuan-Nya.”

Telah berkata imam at-Tirmidzi:

“Telah berkata ahli ilmu: Dan Ia (Allah) di atas ‘arsy sebagaimana Ia telah menetapkan diri-Nya.”

(Rujukan daripada Kitab al-‘Uluw, oleh Imam az-Zhahabi)

Telah berkata imam Ibnu Khuzaimah:

“Barangsiapa yang tidak menetapkan sesungguhnya Allah di atas ‘arsy-Nya Ia istiwa’ di atas tujuh langit-Nya, maka ia telah kafir dengan Tuhan-Nya (setelah hujah ditegakkan)... (Sahih, dikeluarkan oleh al-Hakim di dalam kitabnya Ma’rifah ‘ulumil-Hadits, halaman 84)

Telah berkata Sheikhul Islam imam Abdul Kadir Jailani:

“Tidak boleh mensifatkan-Nya bahawa Ia (Allah) berada di tiap-tiap tempat (Allah di mana-mana). Bahkan wajib mengatakan, “Sesungguhnya Ia di atas langit (iaitu) di atas ‘arsy-Nya sebagaimana Ia telah berfirman: “ar-Rahman di atas ‘arsy, Ia istawa’”, di dalam surah Thoha, ayat ke 5.” (Fatwa Hamawiyyah Kubra, halaman 87)

Berikut pula saya membawakan kata-kata ibnu Katheer di dalam tafseernya, yang mana mentafsirkan ayat “summas tawa ‘alal ‘arsy (ثُمَّ اسْتَوَى عَلَى الْعَرْشِ)” sebagai di bawah (petikan di bawah).

Berikut kita lihat kata-kata Al-Hafidz Ibnu Katsir Rahimahullah:

“Adapun firman-Nya:

“Kemudian Dia bersemayam di atas ‘arsy. (al-a’raaf: 54)

Orang-orang mempunyai berbagai pendapat dalam permasalahan ini dan sekarang bukanlah tempatnya untuk membahasnya secara luas, namun dalam perkara ini, kita menempuh mazhab para salafus-Soleh seperti imam Malik, al-Auza’i, ats-Tsauri, al-Laits bin Sa’ad, as-Syafi’e, Ahmad bin Hanbal, Ishaq bin Rahawaih dan lain-lain dari kalangan para imam kaum muslimin, baik yang dahulu mahupun yang sekarang, iaitu membiarkan sebagaimana datangnya tanpa takyif, tasybih dan ta’thil. Apa yang terbersit (tergambar) di dalam benak fikiran orang-orang Musyabbih (yang menyamakan sifat Allah dengan makhluk-Nya) tidak terdapat pada Dzat allah s.w.t., sebab Allah sedikitpun tidak sama dengan makhluk-Nya. Allah berfirman (maksudnya):

“Tidak ada sesuatupun yang serupa dengan Dia dan Dialah yang maha mendengar lagi Maha melihat.” (as-Syuura: 11)

Bahkan perkara ini sebagaimana yang dikatakan oleh salah seorang imam yang bernama Nu’aim bin Hammad al-Khuza’i, guru kepada imam al-Bukhari: “Barangsiapa yang menyerupakan Allah dengan makhluk-Nya, maka dia telah kafir. Barangsiapa yang mengingkari apa yang telah disifatkan Allah terhadap Dzat-Nya, maka ia telah kafir. Apa yang Allah sebutkan tentang sifat-sifat-Nya dan yang Rasulullah s.a.w. sebutkan tentang sifat-sifat Allah tidak merupakan tasybih (penyerupaan Allah dengan Makhluk). Barangsiapa yang menetapkan untuk allah apa yang dengan jelas telah tercantum dalam ayat dan hadith-hadith sahih yang sesuai engan kemulian Allah serta menafikan dari Dzat Allah semua sifat kekurangan, bererti ia telah menempuh jalan petunjuk.” (Tafseer al-‘Azim, Ibnu Kather)

Jelaslah bahawa, hakikat-nya para imam itu sendiri seperti ibnu Katheer, as-Syafi’e, imam Ahmad bin Hanbal, imam Malik, dan lain-lain adalah bersama para salaf dalam menyatakan bahawa Allah itu bersemayam di ‘arsy selaras dengan keagungan-Nya tanpa ta’wil dan ta’til.
هَؤُلاءِ قَوْمُنَا اتَّخَذُوا مِنْ دُونِهِ آلِهَةً لَوْلا يَأْتُونَ عَلَيْهِمْ بِسُلْطَانٍ بَيِّنٍ فَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنِ افْتَرَى عَلَى اللَّهِ كَذِبًا
“maka tidak ada Yang lebih zalim dari orang-orang yang berdusta terhadap Allah.” (al-Kahfi: 15)

Tidak ada komentar:

Posting Komentar