Rabu, 25 November 2009

Hikmah Ibadah Haji



Di antara hikmah-hikmah Haji yang kalau dicungkil akan terbuka seribu satu rahsia yang maha agung disebalik perintah Haji adalah:

  1. Ihram, dengan niat menunaikan haji dan meninggalkan larangan-larangan yang berkaitan dengannya (berihram) setelah memakai pakaian ihram.
    Hikmah memakai Ihram itu adalah seseorang yang menunaikan Haji dan umrah adalah orang yang datang menyahut panggilan Allah. Ianya harus dilakukan dengan khusyuk dan tawaduk serta menyerah diri kepada Allah seperti mayat (yang dikapankan dengan kain putih). Menyedari hakikat tersebut, manusia ini yang sebenarnya adalah sama di sisi Allah. Dan nilai yang dipandang oleh Allah bukan hartanya atau perhiasan zahirnya tetapi kebersihan hati dan taqwa.

  2. Wuquf, yakni diam di padang Arafah pada tanggal 9 Zulhijjah hingga terbit fajar 10 Zulhijjah
    Wukuf di Arafah adalah perhimpunan manusia dari seluruh dunia ke padang yang satu. Dibawah terik matahari, tiada daya dan upaya melainkan mengharapkan keredhoaan Allah. Perhimpunan jutaan manusia itu adalah gambaran tentang perhimpunan yang bakal di hadapi oleh setiap manusia bagi menghisab amalan diri di Padang Makhsyar kelak. Oleh itu hisablah diri kita dan bertaubat di atas dosa-dosa kita, sebelum Allah pamirkan dosa tersebut di hadapan jutaan manusia di Padang Makhsyar.

    Ada pendapat yang mengatakan perkataan Arafa itu adalah berasal dari pertemuan Nabi Allah Adam a.s dan isterinya Siti Hawa yang telah dipindahkan ke bumi secara berasingan dan akhirnya bertemu di lembah yang dikenali sekarang ini dengan Padang Arafah. Ada ulama yang mengatakan ianya berasal dari peristiwa pertemuan Nabi Allah Ibrahim dengan isterinya, Siti Hajar dan anaknya Nabi Ismail a.s yang telah lama berpisah. Sebahagian ulama berpendapat, perkataan Arafa itu adalah hasil dari kefahaman Nabi Allah Ibrahim yang telah memahami perintah Allah yang tersirat di dalam mimpinya untuk menyembelih puteranya, Ismail. Kerana itu Hari wukuf di Arafah itu di kenali sebagai Hari Tarwiyah iaitu hari renungan. Ini adalah kerana Ibrahim a.s merenung kembali mimpinya yang berturut-turut dan akhirnya baginda faham (Arafa).

  3. Bermalam di Mudzalifah, sepulangnya dari Arafah ke Mina Mudzalifah adalah tempat persinggahan Rasulallah dalam perjalanannya dari Arafah ke Mina. Menurut riwayat Rasulallah mendirikan sembahyang sunat dua rakaat sesudah tengah malam di Mudzalifah. Untuk menghayati Sunnah rasul itulah, setiap jamaah haji diwajibkan untuk bermalam di Mudzalifah. Setengah riwayat mengatakan bahawa para jamaah sebaik-baiknya berada di sana selepas tengah malam hingga terbit fajar. Dan selepas sembahyang Subuh barulah bertolak ke Mina. Tetapi disebabkan terlalu ramai manusia yang hendak bermalam di Mudzalifah, jangka waktu sejenak sudah dianggap memenuhi kewajipan tersebut.
    Di dalam Al Quran Allah menyebutkan di dalam surah Al Baqarah, ayat 198 : " Tidak mengapa kamu mencari anugerah tuhanmu. Maka apabila kamu meninggalkan Arafah, sebutkanlah nama Allah di Mas'aril Haram, Ingatlah akan nikmat-nikmatNya kerana Dialah yang telah memberikan petunjuk kepada kamu, pada hal sebelumnya sebelumnya kamu adalah orang-orang yang sesat."
    Mudzalifah juga di sebut sebagai Masy'ar. Waktu di Mudzalifah adalah waktu yang diuntukkan agar kita menginsafi diri, bersyukur dan berzikir kepada Allah s.w.t. Arafah adalah tempat dimana manusia menimba pengalaman dan ilmu yang melibatkan hubungan sesama manusia sementara Mudzalifah adalah tempat untuk menyematkan segala pengetahuan dan pengalaman di Arafah ke dalam lubuk jiwa dan hati. Di waktu inilah seorang hamba akan bermunajat kepada Allah s.w.t dan waktu yang paling sesuai adalah sesudah tengah malam.

  4. Bermalam di Mina 3 atau 2 malam pada hari-hari Tasyrik. Bermalam di Mina pada hari Nahar dan hari-hari Tasyrik adalah untuk melahirkan rasa syukur ke atas nikmat-nikmat yang telah Allah anugerahkan pada pengetahuan dan pengalaman semenjak dari lahir sehingga di jemput oleh Allah menjadi tetamunya (Haji). Dan pada hari-hari tersebut, di sunatkan menyembelih korban sebagai tanda kesyukuran dan mengikuti sunnah yang telah dianjurkan.

  5. Melontar jamrah di Aqabah pada tanggal 10 Zulhijjah dan jamrah ketiga-tiganya pada hari Tasyrik.
    Kewajipan utama jamaah Haji di Mina adalah melontar di tiga buah Jamrah. Jamrah ertinya lontaran atau batu-batu lontaran yang sudah dibawa oleh setiap jamaah dari Mudzalifah sejak tengah malam yang baru lalu.

    Lontaran pada ketiga-tiga Jamrah itu adalah simbolik terhadap perjuangan Nabi Allah Ibrahim yang digangu Iblis semasa hendak menyembelih puteranya Ismail. Lalu dibaling oleh Nabi Ibrahim a.s dengan batu berulang-ulang kali. Kemudian Iblis mengganggu puteranya, Ismail a.s agar mengingkari perintah Allah s.w.t tetapi berjaya ditentang dan akhirnya Iblis pergi kepada Siti Hajar untuk menghasutnya agar memarahi perbuatan Nabi Ibrahim yang telah diperintah Allah, tetapi tidak juga berjaya. Maka apabila tiba saat penyembelihan itu, Allah telah tukarkan Nabi Ismail dengan seekor kibasy. Dan sujudlah mereka sebagai tanda kesyujuran. Itulah pengobanan yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim dan Ismail di dalam mentaati perintah Allah. Maka pengorbanan itulah yang perlu diambil iktibar dan pelajaran. Dan sewaktu membaling itu, buangkanlah segala syahwat dan nafsu yang ada di dalam diri kita itu agar kita dapat menempuh jalan menuju kepada Allah s.w.t dengan penuh ketaqwaan.

  6. Tawaf , iaitu Tawaf haji yang disebut juga tawaf Ifadhah
    Para Malaikat melakukan Tawaf dilangit mengelilingi sebuah binaan yang dinamakan " Baitul Makmur ". Baitul Makmur itulah tempat para Malaikat di langit bertawaf memuji dan mengesakan Allah. Selain para Malaikat di langit, ada juga para Malaikat yang bertugas di bumi, maka Allah telah memerintahkan para Malaikat di bumi mendirikan sebuah binaan yang sama fungsinya dan sejajar dengan Baitul Makmur di langit sebagai tempat tawaf para Malaikat di bumi. Dan didirikanlah sebuah binaan menurut perhitungan para Malaikat bersententangan dengan Baitul Makmur di langit dan dikatakan itulah kawasan Baitullah di Kota Makkah yang ada pada hari ini.

    Apabila Adam a.s dan isterinya Siti Hawa diturunkan ke bumi, beliau telah menjelajah sehingga ke Kota Makkah dan dengan panduan Malaikat Jibril, Nabi Adam dan isterinya diperintahkan membangunkan Baitullah ditempat para Malaikat melakukan tawaf dan mendirikan bangunan (menurut perhitungan malaikat). Maka bertawaflah Nabi Adam di sekitarnya. Apabila diperintahkan Nabi Allah Ibrahim membangunkan semula binaan yang pernah dibangunkan oleh Nabi Adam a.s, maka Ibrahim diperintahkan bertawaf mengelilinginya.

    Andaikata Kaabah diumpamakan seperti matahari, maka arus manusia yang mengelilinginya sama seperti planet yang mengelilingi matahari pada tiap-tiap orbitnya. Maka persamaan diantara aliran Tawaf manusia mengelilingi Kaabah dan tawaf (orbit) planet-planet mengelilingi matahari tentunya mempunyai hikmah yang besar. Mereka sama-sama bergerak melawan jarum jam (anti clock wise).

  7. Sa'ie, iaitu berjalan atau berlari anak antara bukit Safa dan Marwa Sa'ie di antara Safa dan Marwa adalah imbasan peristiwa Siti Hajar yang sedang kehausan dan mencari air untuk anaknya Ismail yang masih kecil. Bayangkan betapa cemasnya perasaan seorang ibu yang ditinggalkan berseorangan dengan bayinya dalam keadaan yang tidak mempunyai apa-apa di tengah padang pasir. Inilah ujian dan pengalaman yang ditempuhi oleh Siti Hajar dan pada hari ini, manusia berjalan di antara Safa dan Marwa di atas rasa yang sama iaitu mengharapkan hanya Allah tempat mengadu dan bersabar di atas penderitaan yang menjadi ujian kepada kita di dalam kehidupan di dunia.

  8. Tahallul, iaitu mengakhiri ihram dengan menggunting rambut atau lainnya
    Apabila segala rukun dan wajib haji telah disempurnakan, maka hendaklah kita bermohon agar Allah menerima amalan-amalan Haji kita. Bertahalul ertinya membebaskan diri daripada segala pantang larang ihram. Apabila manusia bertaubat, melakukan ketaatan melalui ibadah Haji dan mengenali hakikat diri, maka jadilah manusia itu seperti baru dilahir dan bersih daripada dosa.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar