Sabtu, 11 Juli 2009

Toyota: Mendahului pasaran dunia

Kedudukan Toyota hari ini adalah hasil usaha tanpa henti sejak pengasasnya mula membuat lakaran pertama kereta mereka.



TOYOTA Motor Corporation, syarikat yang diasaskan oleh Kiichiro Toyoda ini mengetuk pintu 2009 dengan cukup bersemangat menerusi kejayaan bersejarah automotif dunia, sekali gus meletakkan mereka di tempat pertama selepas runtuhnya empayar automotif terbesar General Motor (GM) dan Chrysler.

Toyota diiktiraf sebagai pembuat kenderaan terbesar dengan rekod jualan hampir 10 juta kenderaan pada 2007 dan 2008.

Namun kejayaan ini bukan datang bergolek. Mereka menanti hampir lapan dekad untuk berada pada peringkat ini, sesuatu yang satu ketika dahulu dianggap amat mustahil.

Apatah lagi syarikat ini terpaksa bangkit selepas Perang Dunia Kedua. Lebih ironik lagi, kilang asal Toyota di Aichi juga terlibat dalam pengeboman sewaktu perang.



MODEL Corolla nyata diterima baik di semua pasaran yang ditembusinya.

Namun ada sesuatu yang menarik apabila anda memperkatakan tentang bangsa dan budaya Jepun. Sebuah kepulauan kecil yang hampir tidak mempunyai sumber asli mampu menguasai sebahagian besar produk konsumer hari ini.

Bangsa yang mempunyai keazaman dan cara kerja yang sangat berbeza. Budaya yang tidak pernah berubah dalam merevolusikan dunia moden, mencakupi segenap aspek kehidupan kita.

Penulis berkesempatan beberapa kali ke Jepun dan secara peribadi amat kagum dengan cara kerja dan sikap mereka. Budaya, disiplin dan cara hidup merekalah yang menjadi tunjang kejayaan setiap syarikat yang kini berkembang di seluruh dunia.


Industri automotif adalah industri kritikal yang berpeluang untuk tumbang dalam seminit jika anda tidak peka dengan keadaan semasa.

Trak tentera

Ia juga industri yang penuh dengan cabaran, strategi, kekangan politik dan juga pengaruh yang dominan. Sejarah telah membuktikannya.

Syarikat-syarikat seperti Alfa, Benz, BMW juga merupakan antara yang telah lama bertapak. Namun akhirnya, penentu kejayaan sesebuah jenama ialah konsumer.

Pengguna juga yang telah meletakkan kejayaan Toyota di tempat pertama pada hari ini. Meskipun GM dilihat seperti tidak mampu digugat, penguasaan model penting seperti Camry di Amerika dan kereta jualan terbaik dunia Corolla adalah bukti bahawa Toyota tidak memerlukan keruntuhan GM untuk memiliki takhta nombor satu.




TOYOTA Prius merupakan model hibrid paling berjaya di dunia.

Malah semenjak 2006, Toyota sudah menghampiri jumlah jualan GM dengan julat kurang dari 100 ribu hingga 10 ribu unit.

Toyota bermula sekitar 1930-an dan menghasilkan kenderaan trak tentera sewaktu perang.

Bagi mengesploitasi sumber yang terhad dan kos yang rendah, trak asal tentera ini hanya dipasangkan dengan satu lampu utama di atas hud.

Perang yang tamat tidak lama selepas itu meletakkan Toyota antara syarikat automotif terawal selain Honda dan Nissan yang mendapat insentif daripada kerajaan untuk membangunkan sektor automotif.

Model komersil Toyota pertama lahir pada 1947 menerusi model yang dikenali sebagai SA. 40 tahun lewat berbanding kereta produksi massa Ford model T.


AKIO TOYODO

Perkembangan sebenar industri automotif Jepun bermula pada penghujung 1970-an sewaktu krisis harga minyak dan ekonomi dunia menyaksikan arus permintaan terhadap segmentasi kenderaan.

Pembeli tidak lagi mementingkan gaya, malah praktikaliti dan ekonomikal menjadi pilihan. Pengeluar kereta Jepun telah bersedia untuk itu kerana mereka telah belajar dari kepayahan pasca perang.

Toyota menghasilkan model-model enjin ekonomikal pada harga jualan yang sangat kompetitif. Era 80-an dan 90-an pula menyaksikan syarikat ini berkembang pesat, memperkenalkan Scion dan Lexus, memiliki Hino dan Daihatsu serta kepentingan dalam Fuji Heavy Industries yang membina Subaru.

Optimis

Sehingga penghujung 90-an, pesaing terdekat Toyota ialah GM yang memiliki Buick, Cadillac, Chevrolet, GMC, Holden, Hummer, Opel, Pontiac, Saab, Saturn, Vauxhall dan Daewoo.

Kedua-dua konglomerat automotif ini saling bersaing merebut pasaran baru. Keupayaan Toyota hari ini turut didorong oleh penguasaan pasaran di Asia yang sebelum ini dipinggirkan GM.

Toyota lebih awal bertapak di China dan Asia Tenggara. Dengan mengambil kira pembangunan Asia yang cukup pesat, jenama Toyota lebih mudah diterima di rantau ini.



TEKNOLOGI enjin Prius menjadi penanda aras terhadap model-model hibrid di pasaran.

Sedangkan GM bertungkus lumus cuba untuk melebarkan empayar. Ketika berada di tangga pertama sekalipun, Toyota tetap unggul dengan budaya perniagaan yang memandang optimis jauh ke hadapan.

Mereka menyedari kepayahan kelembapan ekonomi hari ini, justeru mengambil langkah lebih awal berbanding mana-mana syarikat automotif.

Presiden Toyota baru, Akio Toyoda yang merupakan cucu kepada pengasas Toyota Kiichiro Toyoda, mengambil langkah awal dengan memaksimumkan sistem automasi penuh dalam sektor pengeluaran mereka.

Beliau juga mengambil keputusan mengambil hanya 30 peratus bayaran sebagai CEO pada tahun ini. Nekad untuk untuk memastikan bahawa Toyota akan terus kukuh, beliau mengelak menutup mana-mana kilang pengeluaran mereka dan mendesak kerajaan Jepun memperkenalkan dasar automotif yang mampu menyokong industri automotif secara keseluruhan.

Sukar digugat

Beliau optimis bahawa sektor automotif dan ekonomi akan pulih selewat-lewatnya dalam tempoh dua tahun lalu. Kemudian merebut peluang dengan memenuhi kehendak konsumer.

Era Toyoda dijangka bermulanya dimensi baru dalam lembaran keadaan ekonomi lembap dunia hari ini. Beliau turut dibantu oleh muka-muka baru yang terdiri daripada lima naib presiden eksekutif serta lapan muka baru dalam lembaga pengarah Toyota Motor Corporation.

Bijak mengenali pasaran terpenting Amerika Syarikat (AS), Toyoda melantik semula Yoshimi Inaba yang meninggalkan Toyota pada 2007.

Produk Hybrid terbaik mereka, Prius, terus ditatang dengan mengekalkan ketua juruteranya Takeshi Uchiyamada sebagai naib presiden ekskutif.

Bagaimanapun portfolio Uchiyamada ditukar, daripada seorang yang bertanggungjawab di bahagian pembuatan kepada R&D dan pengurusan produk.

Sehingga hari ini, Prius merupakan sebuah kereta hybrid paling berjaya di dunia. Ia juga menjadi penanda aras terhadap mana-mana kenderaan komersial hybrid yang ada dipasaran.

Toyota sukar untuk digugat. Kedudukan mereka hari ini adalah hasil usaha tanpa henti sejak pengasasnya mula membuat lakaran pertama kereta mereka.

Hari ini, mereka berfikir pantas untuk teknologi 10 tahun akan datang. Kita telah menerima hakikat, bahawa kini Jepun benar-benar mendahului pasaran.

Jika ada sebuah syarikat Jepun lain yang boleh dijadikan contoh, ia adalah Sony.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar